Covid-19: Kes pulih semakin meningkat, satu kematian hari ini [METROTV]

BILANGAN kes pulih Covid-19 melebihi kes jangkitan baharu terus dicatatkan apabila 135 kes pulih dan dibenarkan keluar wad diumumkan hari ini, berbanding kes baharu.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj adalah 4,702 kes atau 73.15 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes baharu positif Covid-19 di negara ini pula adalah 45 kes menjadikan jumlah keseluruhan 6,428 kes di negara ini.

Menurutnya, daripada jumlah kes baharu itu, 44 kes penularan tempatan manakala satu kes import selain satu kes dikesan dari kluster Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Sehingga kini, seramai 22 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan sembilan kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), dukacita dimaklumkan terdapat satu kematian berkaitan Covid-19 hari ini.

DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Bernama
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Bernama

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah 107 kes,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kematian ke-107 (kes ke-2,380) adalah lelaki warga Malaysia berusia 51 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi serta buah pinggang.

“Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB) pada 22 April dan disahkan meninggal dunia jam 2.53 petang semalam.

“Kementerian Kesihatan mengucapkan takziah kepada keluarga beliau,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19