Covid-19: Kes pulih terus meningkat [METROTV]

SEBANYAK 75 kes pulih daripada jangkitan Covid-19 setakat jam 12 tengah hari ini, sekali gus mengekalkan perkembangan positif apabila melebihi kes baharu yang direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes pulih itu menjadikan jumlah keseluruhan sembuh daripada jangkitan Covid-19 ialah 4,032 kes atau 68.9 peratus.

Beliau berkata, sebanyak 31 kes baharu direkodkan setakat hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 5,851 kes positif.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,718 kes. Mereka diasingkan dan diberi rawatan.

“Sehingga kini, seramai 36 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, 17 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan Covid-19, sekali gus jumlah keseluruhan angka korban adalah sebanyak 100 orang.

“Kes kematian ke-100 (kes ke-3628) adalah lelaki warga Malaysia berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung.

“Mangsa dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 4 April 2020 dan disahkan meninggal dunia 9.40 pagi hari ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19