COVID-19: Kes semakin turun, Jacinda Ardern puas hati kerjasama rakyat New Zealand

Jacinda puji kerjasama rakyat New Zealand dalam mengekang wabak COVID-19. – Reuters

WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berkata negaranya berpotensi memenangi pertempuran melawan COVID-19 apabila hanya 29 kes baharu dicatat hari ini (Khamis, 9 April).

Ardern berkata negara itu berterusan menunjukkan perkembangan positif hanya enam minggu selepas wabak itu tiba di New Zealand.

Pelaksanaan perintah berkurung mungkin boleh ditarik balik dalam tempoh seminggu lagi dan orang ramai akan dibenarkan kembali bekerja jika majikan dapat memastikan pekerja melaksanakan penjarakan sosial.

29 kes jangkitan dalam tempoh 24 jam ini menyaksikan penurunan untuk empat hari berturut-turut dicatatkan negara berkenaan.

"Saya memuji kerjasama yang diberikan rakyat. Anda sedang memutuskan rantaian jangkitan dan anda melakukan demi kasih sayang terhadap satu sama lain.

"Kita mempunyai semua yang diperlukan untuk memenangi pertempuran ini. Anda kekal tenang, kuat, anda menyelamatkan nyawa saudara anda, dan sekarang mari kita teruskan," kata Ardern.

New Zealand mengesahkan kes pertama pada 26 Februari dan menutup sempadannya pada 19 Mac, sebelum melaksanakan perintah berkurung bermula 26 Mac.

Kerajaan New Zealand akan memutuskan sama ada perintah berkurung akan diteruskan pada 20 April ini.

Perintah berkurung yang asal akan tamat pada 22 April.

New Zealand kini berada pada Tahap Amaran tertinggi 4, tetapi Ardern berkata ia boleh diturunkan ke Aras 3.

Di bawah Tahap 3, orang ramai tidak diarahkan untuk tinggal di rumah, namun pusat dan institusi awam masih ditutup dan perhimpunan besar perlu dibatalkan.

New Zealand yang mempunyai kira-kira 5 juta penduduk, setakat ini mencatat 1,239 kes dengan satu kematian.