Covid-19: Kluster Bakau pula muncul

Kuala Lumpur: Kluster Bakau di Semporna, Sabah, diisytiharkan sebagai kluster baharu jangkitan Covid-19, dengan tiga kes positif direkodkan setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster itu adalah seorang wanita warga Filipina (kes ke-10,145) yang juga kes kematian ke-129 dilaporkan semalam.

“Saringan Covid-19 kes indeks didapati positif pada 16 September lalu. Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan dua lagi kes positif dikenal pasti.

“Dua kes positif itu membabitkan seorang warga negara dan seorang warga Filipina. Mereka dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sejumlah 109 individu disaring iaitu tiga kes positif manakala 106 individu menunggu keputusan.

Katanya, punca jangkitan masih dalam siasatan namun langkah pencegahan termasuk proses nyahkuman dan pembersihan sudah dijalankan di Hospital Semporna.

Mengenai Kluster Sungai, beliau berkata, sebanyak lapan kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif kluster itu sebanyak 73 kes.

“Terdapat satu kes baharu juga dilaporkan dari Kluster Benteng LD pada hari ini menjadikan jumlah kes positif kluster itu sebanyak 551 kes,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19