Covid-19: Kluster Laut pula dikesan

Kuala Lumpur: Satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Laut dikenal pasti dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (Pati) di Kunak, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster (iaitu kes ke-9,859) adalah seorang tahanan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau yang dihantar balik ke negara asal iaitu Zamboanga, Filipina pada 27 Ogos lalu.

Menurutnya, pada 5 September lalu, individu itu menyusup masuk ke Sabah dari Zamboanga melalui jalan tikus untuk melawat isterinya.

“Isteri kes (iaitu kes ke-9,860) pula dikesan positif Covid-19 pada 8 September 2020 semasa saringan rujukan di Hospital Kunak ke Hospital Tawau bagi rawatan lanjut komplikasi pendarahan selepas bersalin.

“Beliau didapati mula bergejala pada 6 September lalu. Hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat, dua lagi kes positif Covid-19 dikesan, iaitu anak dan jiran kes indeks (iaitu kes ke-9,861 dan kes ke-9,862),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini, sejumlah 49 disaring dalam kluster itu membabitkan warga Filipina.

“Daripada jumlah ini empat kes dikesan positif Covid-19, 14 individu negatif dan 31 individu masih menunggu keputusan.

“Langkah pencegahan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan dijalankan di lokasi yang dikenal pasti. Punca jangkitan masih di dalam siasatan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19