Covid-19: Kluster Sala pula dikesan di Kedah

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti satu kluster baharu iaitu Kluster Sala di Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Sala dikesan di daerah Yan di mana kes pertama (iaitu kes ke-9,148) adalah lelaki warga negara yang dikesan positif pada 13 Ogos lalu melalui sistem survelan klinikal Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah.

Menurutnya, aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat dijalankan pada 14 Ogos 2020 dan kes dikesan positif pada hari ini.

“Ketiga-tiga kes yang dilaporkan pada hari ini adalah ahli keluarga kepada kes pertama (kes ke-9,148).

“Sehingga hari ini, 80 kontak rapat beliau disaring yang mana daripada jumlah ini empat kes dikesan positif Covid-19 dan 76 individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kesemua kes bagi kluster ini adalah warga negara Malaysia dan pengesanan kes secara aktif sedang diteruskan.

“Langkah pencegahan dan membendung jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi yang dikenalpasti.

“Punca jangkitan masih di dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata, Kluster Muda pula setakat jam 12 tengah hari ini, seramai 133 individu disaring dalam kluster ini.

“Daripada jumlah ini, sebanyak tiga kes dikesan positif Covid-19, 27 individu adalah negatif dan baki 103 individu masih menunggu keputusan.

“Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kluster ini dan situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19