Covid-19: Kluster Sungai membabitkan anggota kesihatan dikesan

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa satu kluster baharu iaitu Kluster Sungai dikenal pasti di sebuah pusat perubatan di Kedah.

Kes indeks iaitu kes ke-9,455) ini membabitkan seorang anggota kesihatan di pusat perubatan.

Beliau bergejala sejak 30 Ogos tetapi tidak mendapatkan rawatan.

Ujian saringan Covid-19 dijalankan pada 5 September 2020 dan didapati positif.

Kes kedua kluster ini iaitu kes ke-9,456 adalah anggota kesihatan di pusat perubatan di Kedah.

Beliau juga kontak rapat kepada kes indeks.

Beliau bergejala sejak 5 September dan mendapatkan rawatan di pusat perubatan yang sama. Ujian saringan Covid-19 dijalankan pada 5 September dan didapati positif.

Kedua-dua kes dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan diberi rawatan.

Susulan itu, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat dijalankan.

Sehingga 7 September 2020, seramai 57 orang disaring.

Daripada jumlah itu, dua kes dikesan positif Covid-19 dan 55 individu masih menunggu keputusan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19