COVID-19: Koronavirus dikesan dalam air mani pesakit – Penyelidik

Koronavirus SARS-CoV-2 dilapor ditemukan dalam air mani pesakit COVID-19 oleh penyelidik di China. -Gambar fail

BEIJING: Koronavirus SARS-CoV-2 dilapor ditemukan dalam air mani pesakit yang dijangkiti COVID-19 dalam satu kajian di China.

Kajian berskala kecil oleh penyelidik di negara itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada jangkitan boleh berlaku melalui hubungan seks, lapor AP.

Para doktor mengesan virus tersebut dalam sampel air mani enam daripada 38 pesakit lelaki yang dimasukkan ke wad.

Empat daripada pesakit masih kritikal manakala dua lagi semakin sembuh.

Laporan daripada Hospital Perbandaran Shangqiu itu diterbitkan pada Khamis di JAMA Network Open.

Tiada kajian lanjut dijalankan untuk mengetahui sama ada virus boleh berjangkit melalui hubungan seks serta berapa lama virus tersebut boleh berada dalam air mani pesakit.

Hasil kajian itu bercanggah dengan kaji selidik terhadap 34 pesakit lelaki warga China yang menghidap COVID-19 yang diterbitkan bulan lepas dalam jurnal Fertility and Sterility.

Penyelidik Amerika Syarikat (AS) dan China tidak menemukan sebarang bukti wujudnya virus SARS-CoV-2 dalam sampel air mani yang diuji di antara lapan hingga tiga bulan selepas diagnosis.