Covid-19: Kuala Sanglang dikenakan Temco

PERLIS menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di Kuala Sanglang, Mukim Sanglang bermula malam ini hingga 9 September hadapan.

Kerajaan negeri dalam kenyataan berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira pertambahan kes Covid-19 yang membabitkan Kampung Tanah Timbul dan Kampung Kuala Sanglang di kawasan itu.

“Penduduk dipohon supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa kerana pelaksanaan Temco akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sedia ada dengan tambahan kepada pelaksanaan Sekatan Jalan Raya (SJR) di setiap laluan keluar masuk ke kawasan Temco.

“Orang awam yang berada di luar kawasan pelaksanaan Temco tidak dibenarkan masuk kecuali terbabit dengan memberikan perkhidmatan perlu (essential services).

“Selain itu, penduduk di dua kampung yang terjejas diminta mematuhi arahan kuarantin di rumah yang telah dikeluarkan meskipun telah menjalani ujian saringan,” kata kenyataan itu.

Dinyatakan, hanya ketua keluarga sahaja yang dibenarkan keluar bagi membeli barangan keperluan sementara menunggu keputusan ujian saringan yang akan diperoleh tidak lebih daripada empat hari selepas pelaksanaan.

Kenyataan itu menyebut kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas sepanjang tempoh pelaksanaan itu.

Sebelum ini, media melaporkan, Perlis mempertimbang untuk melaksanakan Temco di kawasan tertentu jika kes Covid-19 meningkat.

Sehingga kini, Perlis mencatat 30 kes positif Covid-19 sejak Mac lalu dengan 11 daripadanya kes terbaharu yang dikaitkan kluster PUI Sivagangga.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan