COVID-19: Lebih 21.5 juta kes positif direkod di seluruh dunia

AS terus kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 169,000 kes kematian. – REUTERS

KES positif COVID-19 terus meningkat.

Lebih 200,000 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam di seluruh dunia.

Ini menjadikan kes kumulatif global kini lebih 21.5 juta.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan hampir 5.4 juta kes.

Ini diikuti Brazil dengan 3.3 juta kes, manakala India 2.59 juta kes.

Jangkitan COVID-19 di Rusia pula menghampiri angka 1 juta.

Sementara Afrika Selatan, Peru dan Mexico melepasi angka setengah juta.

Chile, Iran, Sepanyol dan United Kingdom pula mencatat kes melepasi angka 300,000.

Sementara itu, lapan lagi negara merekodkan angka positif melebihi 200,000 kes termasuk Arab Saudi, Argentina, Pakistan, Bangladesh, Itali, Perancis, Turki dan Jerman.

Dalam pada itu, negara yang melepasi angka 100,000 ialah Iraq, Filipina, Indonesia, Kanada, Qatar dan Kazakstan.

Lain-lain negara setakat ini masih merekodkan angka di bawah 100,000 kes.

Sementara itu statistik Johns Hopkins University turut mendedahkan angka kematian global meningkat lebih 5,000 kes kes dalam tempoh 24 jam.

Jumlah kumulatif kematian global akibat COVID-19 kini melepasi 772,000 kes dengan AS terus kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 169,000 kes kematian.

Ini diikuti Brazil dengan 107,000 kematian dan Mexico dengan 55,000 kematian.

India dan United Kingdom masing-masing melepasi angka 46,000 kematian.

Sementara itu, Itali dan Perancis pula masing-masing merekodkan lebih 35,000 dan 30,000 kes.

Dua negara terakhir yang melepasi angka kematian 20,000 adalah Sepanyol dengan 28,000 dan Peru dengan 25,000 kes.

Lain-lain negara masih merekodkan angka korban di bawah 20,000 kes.