Covid-19: Lima kematian, 170 kes baharu [METROTV]

LIMA kematian berkaitan jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini sebanyak 82 kes.

Mengenai bilangan kes baharu positif Covid-19, beliau berkata, sebanyak 170 dilaporkan hari ini, mencatatkan 4,987 kes keseluruhan dalam negara.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 60 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), 33 menggunakan bantuan alat pernafasan.

“Bilangan pesakit yang telah sembuh terus meningkat. Terbaru, seramai 202 orang telah sembuh.

“Ini menjadikan 2,478 pesakit atau 49.7 peratus telah sembuh dan discaj hospital. Kes aktif (positif Covid-19) kebolehjangkitan seramai 2,427 pesakit, mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Berikut laporan terperinci kematian akibat Covid-19 dalam negara hari ini;

1) Kes kematian ke-78 (kes ke-4,532)

• Lelaki dewasa tanpa identiti diri dan dipercayai bukan warga Malaysia yang ditemui mati di Kota Kinabalu, Sabah pada 6 April.

• Keputusan ujian sampel Covid-19 yang diambil semasa bedah siasat didapati positif pada 11 April.

• Kes ini di bawah siasatan Polis Diraja Malaysia.

2) Kes kematian ke-79 (kes ke-2,052)

• Lelaki warga Malaysia berusia 65 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

• Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 27 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 14 April, 5.17 pagi.

3) Kes kematian ke-80 (kes ke-4,818)

• Lelaki warga Malaysia berusia 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.

• Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 7 April dan disahkan meninggal dunia pada 12 April, 11.36 malam.

4) Kes kematian ke-81 (kes ke-4,521)

• Wanita warga Malaysia berusia 74 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit buah pinggang.

• Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif Covid-19, iaitu kes ke-4,088 yang telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.

• Beliau telah dirawat di Hospital Melaka pada 9 April dan disahkan meninggal dunia pada 13 April, 4.20 petang.

5) Kes kematian ke-82 (kes ke-1,649)

• Lelaki warga Malaysia berusia 81 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

• Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif Covid-19, iaitu kes ke-343 yang telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.

• Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 26 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 14 April, 11.50 pagi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    DR Noor Hisham ketika sidang media berhubung situasi semasa Covid-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
    DR Noor Hisham ketika sidang media berhubung situasi semasa Covid-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah