COVID-19: Mafia Italia gencat senjata, rupanya ada ‘udang’ di sebalik korona

Kerabat mafia Itali ambil peluang sebar pengaruh hulur bantuan bertujuan menanam pengaruh kalangan orang awam. – Gambar REUTERS

DALAM suasana kehidupan harian tertangguh akibat pandemik virus korona, geng jenayah seluruh dunia banyak yang hilang punca dan terpaksa letak senjata.

Namun bagi kumpulan mafia di Itali, mereka tetap aktif – bukan terlibat jenayah berdarah tetapi melakukan kerja kebajikan di kawasan yang kurang pengaruh mahupun perhatian pihak berkuasa.

Mereka juga berjaya melaksanakan perintah 'berkurung' hanya dengan ancaman mengguna taktik 'samseng' bagi sesiapa yang ingkar.

Mafia juga mencuri hati rakyat Itali dengan membantu kerja amal seperti membekal makanan kepada isi rumah yang terpaksa hidup terkurung sejak awal bulan Mac.

Namun, usaha 'kebajikan' mafia ini tak ubah seperti ada udang di sebalik batu.

Dalam suasana 'berkurung' mengekang penularan virus korona, tugas membanteras jenayah pihak berkuasa terhadap mafia sedikit terjejas.

Mengikut penyiasat petugas 'anti-mafia' Itali Giuseppe Governale, kumpulan jenayah itu pasti membuat persediaan menangguk di air keruh – menambah pengaruh kalangan orang awam dan menanam saham dalam perniagaan dan syarikat yang kini menghadapi kemungkinan gulung tikar.

Antara taktik yang diguna mafia termasuk menyumbang bekalan makanan kepada yang kesempitan akibat hidup terkurung.

Di Naples, selatan Itali, ahli mafia dari kumpulan Camorra mengguna pengaruh mengarah pinjaman diberi tanpa faedah pada waktu ramai yang hilang punca pendapatan.

Lebih 300 km ke selatan di Palermo, kumpulan mafia Cosa Nostra menonjol diri dengan menyumbang makanan percuma di kejiranan miskin sebagai usaha menabur bakti dalam keadaan darurat.

Selagi pandemik COVID-19 belum berakhir, peranan kumpulan mafia dalam kerja-kerja 'kebajikan' pasti akan tambah menyerlah.

Apabila keadaan pulih kelak, sudah tentu hasilnya akan dituai.