COVID-19: Pelanggan tembak tiga pekerja restoran makanan segera selepas dilarang makan dalam restoran

Seorang wanita bertindak menembak tiga pekerja dan memukul seorang lagi kerana berang selepas diberitahu tidak boleh makan di dalam restoran McDonald di Oklahoma. – Gambar/Business Insider

OKLAHOMA: Berang kerana ruangan makan McDonald's ditutup seorang wanita bertindak menembak dan menyerang empat pekerja restoran makanan segera itu di Kota Oklahoma.

Menurut polis memetik laporan Business Insider, kejadian pada 6.22 petang (waktu tempatan) itu menyebabkan tiga daripada pekerja restoran itu ditembak manakala seorang lagi dipukul.

Bagaimanapun, keempat-empat pekerja restoran itu telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dengan kecederaan yang dianggap tidak mengancam nyawa.

Menurut seorang pegawai polis dari Jabatan Polis Oklahoma, Kapten Larry Withrow, apabila suspek memasuki restoran dia diberitahu oleh pekerja restoran itu bahawa ruang makan ditutup dan hanya 'drive-thru' sahaja dibuka.

"Suspek berusia 32 tahun yang tinggal beberapa blok dari kawasan itu kemudiannya memukul seorang pekerja sehingga jatuh.

"Suspek kemudian keluar dari restoran dan masuk kembali bersama pistol seterusnya melepaskan dua atau tiga das tembakan ke arah pekerja restoran terbabit," katanya.

Mengulas lanjut, Withrow berkata. seorang pekerja ditembak di lengan, seorang di leher dan bahu manakala seorang lagi terkena di bahagian tepi badan.

Pekerja yang dipukul mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Terdahulu, kejadian yang sama berlaku kepada seorang pengawal keselamatan yang bertugas di pasaraya Family General di Michigan.

Mangsa maut ditembak selepas dilaporkan memberitahu pelanggan untuk memakai topeng muka.

Sementara itu, menurut Profesor Pengurusan Krisis dan Keselamatan Awam, Universiti Central Florida, Larry Barton berkata, dalam 30 tahun mempelajari peruncitan dan situasi krisis, pihaknya tidak pernah melihat situasi pelanggan bersikap kasar terhadap pekerja.

"Ini memalukan dan seperti yang kita lihat dengan penembakan terhadap pengawal keselamatan, persekitaran yang kadang-kala membawa maut," jelasnya.