Covid-19: Penghantar makanan akan disaring [METROTV]

PENGHANTAR makanan perlu menjalani ujian saringan koronavirus baharu (Covid-19) bagi memastikan mereka tidak dijangkiti wabak itu yang dibimbangi boleh menjangkiti pelanggan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mencari kaedah untuk memastikan semua penghantar makanan menjalani ujian itu.

Beliau berkata, syarikat penghantar makanan berdaftar perlu menanggung kos ujian saringan itu yang boleh dilakukan sama ada di klinik kesihatan kerajaan atau swasta.

GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama

“Kalau mereka (penghantar makanan) dari syarikat yang berdaftar, mungkin tiada masalah dan syarikat bertanggungjawab dari segi pembayaran (kos).

“Apa yang kita kena fikirkan adalah penghantar makanan lain yang tidak berdaftar. Mungkin kita akan bincangkan kaedah bersesuaian,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham berkata, setakat ini KKM tidak mempunyai data khusus mengenai pesakit positif Covid-19 dalam kalangan penghantar makanan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19