COVID-19: Percaya metanol boleh sembuhkan, 700 maut di Iran

Jumlah itu dipercayai merupakan angka kematian tertinggi yang pernah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Iran setakat ini. – Gambar AP

TEHRAN: Gara-gara percaya metanol boleh mencegah virus COVID-19, lebih 700 warga Iran maut akibat meminum bahan kimia itu di Tehran.

Menurut Penasihat Kementerian, Hossein Hassanian, jumlah itu merupakan angka kematian tertinggi yang pernah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Iran setakat ini.

Hassanian, bagaimanapun, berkata, perbezaan pada angka kematian berdasarkan laporan sebelum ini, adalah disebabkan kes kematian yang berlaku di luar hospital.

“Kira-kira 200 orang mati tanpa menerima rawatan di hospital,” katanya seperti dilaporkan AP.

Dalam pada itu, menerusi laporan berkaitan pandemik COVID-19 yang dikeluarkan kerajaan pada awal April, kes keracunan metanol menunjukkan peningkatan yang mendadak sebanyak 10 kali ganda sejak tahun lalu.

Tambah Hassanian, jumlah sebenar kes mereka yang hilang atau kabur penglihatan akibat mengambil metnol juga dipercayai lebih tinggi daripada jumlah sebenar dicatatkan.

Senada dengan Hassanian, jurucakap Kementerian Kesihatan, Kianoush Jahanpour, berkata sejumlah 5,011 warganegara itu menjadi mangsa keracunan metanol atau dikenali sebagai ‘methyl alcohol’.

"Kira-kira 90 orang didapati hilang penglihatan atau menderita kerosakan pada organ mata akibat meminum alkohol,” katanya.

Selain itu, turut dilaporkan bahawa kerajaan Iran mengarahkan pengilang metanol untuk menambah bahan pewarna tiruan ke dalam produk mereka.

Ia bertujuan untuk tidak mengelirukan rakyatnya dengan etanol, iaitu sejenis alkohol yang digunakan untuk mencuci luka.

Biarpun begitu, bahan kimia etanol juga boleh didapati dalam minuman beralkohol meskipun pengeluarannya diharamkan di negara itu.

Bagi isu pengambilannya pula, alkohol tidak dibenarkan dalam republik berkenaan, namun difahamkan, terdapat golongan minoriti Kristian, Yahudi dan Zoroastrian yang dibenarkan minum di kawasan peribadi masing-masing.

Berikutan penularan pandemik COVID-19, kerajaan Iran juga mengumumkan untuk memberi kebenaran operasi buat kilang-kilang alkohol yang baharu.

Sementara itu, menurut kajian, pengambilan alkohol boleh memberi kesan bahaya kepada otak dan perkembangan organ-organ tertentu selain boleh menyebabkan sakit dada, sesak nafas dan kabur penglihatan.

Sehingga kini, Iran mencatatkan lebih 91,000 kes jangkitan dengan 5,806 kematian akibat COVID-19.