COVID-19: Rakyat Korea Selatan pilih mengundi awal

Korea Selatan menyaksikan menurun kes positif COVID-19 yang ketara sejak Mac lalu.

KOREA SELATAN: Menjelang pilihan raya Parlimen Rabu ini, rakyat Korea Selatan memilih untuk melakukan pengundian awal susulan kerisauan penularan wabak COVID-19.

Suruhanjaya Pilihan Raya Nasional melaporkan 26.7 peratus daripada 44 juta pengundi yang layak telah mengambil bahagian dalam pengundian awal yang berlangsung pada Jumaat dan Sabtu.

Angka tersebut 0.6 peratus lebih tinggi daripada pengundian awal dalam pilihan raya presiden pada 2017.

Banyak negara di seluruh dunia telah menangguhkan pilihan raya kerana wabak berkenaan, namun berbeza dengan Korea Selatan yang tetap meneruskan perancangan seperti biasa.

Korea Selatan menyaksikan menurun kes positif COVID-19 yang ketara sejak Mac lalu.

Undian menunjukkan bahawa Parti Demokrat Presiden Moon Jae-in berada dalam kedudukan yang selesa untuk menang, walaupun margin kemenangan selepas kerusi dibahagi agak tipis.