Covid-19: Rekod tertinggi 2,525 kes baharu, 8 kematian

Kuala Lumpur: Penutup 2020 mencatatkan jumlah jangkitan harian Covid-19 tertinggi di Malaysia apabila 2,525 kes direkodkan hari ini dengan lapan kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan kumulatif 113,010 kes setakat ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu hanya 13 kes yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala 2,512 adalah penularan tempatan.

“Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu 1,205 kes dengan 995 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti Sabah (299 kes) dan Melaka (239 kes).

“Sebanyak 304 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (285 kes), Kluster Pagar Siput (8 kes), Kluster Tembok Mempaga (5 kes), Kluster Pagar Bentong (2 kes) dan masing-masing satu kes bagi Kluster Tembok Gajah, Kluster Tembok, Kluster Kolam Air dan Kluster Penjara Seberang Perai,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 131 pesakit Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 60 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat lapan kes kematian hari ini menjadikan jumlah kumulatif 471 kematian iaitu 0.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Dua kematian dilaporkan di Johor membabitkan lelaki berusia 69 dan 79 tahun. Tiga kematian dilaporkan di Selangor membabitkan seorang lelaki dan dua wanita berusia 61 hingga 78 tahun.

“Masing-masing satu kematian membabitkan seorang wanita berusia 58 tahun di Kelantan, lelaki berusia 71 tahun di Kedah dan lelaki berusia 39 tahun di Negeri Sembilan,” katanya.

Katanya, kesemua pesakit terbabit mempunyai latar belakang penyakit lain.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan hari ini terdapat 1,481 kes pulih dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih di negara ini sebanyak 88,941 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19