Covid-19: Rekod tertinggi 2,593 kes baharu, 4 kematian [METROTV]

Kuala Lumpur: Kes baharu positif Covid-19 hari ini, mencatatkan jumlah tertinggi setakat ini iaitu 2,593 kes.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan penularan pandemik ini kepada 125,438 kes dengan jumlah kes aktif 24,347 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, empat ialah kes import manakala 2,589 kes membabitkan penularan tempatan.

“Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu 965 kes diikuti 571 kes di Johor dan 405 kes di Sabah.

“Sebanyak 81 kes dilaporkan berkaitan kluster di penjara dan depot tahanan Imigresen,” katanya hari ini.

Kluster itu membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (73 kes), Kluster Pagar Siput (empat kes), Kluster Tembok Gajah (tiga kes) dan satu kes bagi Kluster Matambai.

Dr Noor Hisham berkata, 141 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 67 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Sebanyak 1,129 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya ialah 100,578 kes atau 80.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Empat kes kematian turut dilaporkan hari ini membabitkan dua lelaki serta dua wanita tempatan berusia 50 hingga 73 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik di Selangor serta Sabah,” katanya.

Ia menjadikan jumlah kematian kepada 513 kes atau 0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19