COVID-19: Rusia catat kes positif lebih 10,000 dua hari berturut-turut

Peningkatan kes baharu COVID-19 meletakkan Rusia sebagai negara ketujuh tertinggi mengatasi Turki. – REUTERS/Gambar fail

RUSIA mencatatkan peningkatan mendadak jangkitan COVID-19 apabila selama dua hari berturut-turut mencatatkan peningkatan lebih 10,000 kes.

Rusia mencatatkan 10,581 kes positif baharu pada Selasa, manakala sejumlah 10,633 kes pada Isnin.

Peningkatan kes baharu menjadikan kes kumulatif di Rusia kepada 155,370 kes, berbanding 145,268 kes pada Isnin.

Ia juga meletakkan Rusia sebagai negara ketujuh tertinggi mengatasi Turki.

Bagaimanapun, kadar kematian di Rusia masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain, khususnya Turki yang di kedudukan kelapan dunia.

Hanya pertambahan 95 kes kematian direkodkan pada Selasa meningkat kepada 1,451, berbanding 1,356 pada Isnin.

Moscow paling teruk terjejas dengan 5,795 kes positif setakat ini.

Dua peratus daripada penduduknya positif virus itu.

Peningkatan kes positif COVID-19 ini membimbangkan pihak berkuasa Rusia berikutan bilangan katil di hospital yang tidak mencukupi.

Justeru, pusat pameran serta stadium telah dijadikan sebagai hospital sementara.