Covid-19: Sah ada mutasi D614G ‘super spreader’

MUTASI jenis D614G dikesan daripada pengasingan kultur virus Covid-19 untuk tiga kes daripada Kluster PUI Sivagangga (kontak rapat kepada kes indeks) dan satu kes daripada Kluster Ulu Tiram iaitu individu daripada Filipina.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan terkini itu diterima daripada makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Menurutnya, setakat ini kedua-dua kluster terbabit didapati terkawal hasil pelbagai tindakan kawalan kesihatan awam yang pantas di lapangan.

“Ujian ini adalah ujian awal dan terdapat beberapa ujian susulan sedang dijalankan ke atas beberapa kes lain, termasuk ke atas kes indeks bagi kedua-dua kluster.

“Ini bermakna masyarakat perlu berwaspada dan lebih berhati-hati kerana virus Covid-19 dengan mutasi D614G ini telah terbukti dikesan di Malaysia. Ia didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak sekiranya disebar oleh individu ‘super spreader’,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, malam tadi.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat kemungkinan kajian vaksin yang sedang dilaksana tidak berkesan ke atas mutasi D614G itu yang ditemui saintis pada Julai lalu.

“Oleh itu, tindakan utama kita masih kepada pencegahan dan kawalan kesihatan awam iaitu berdisiplin dalam mengamalkan sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu penjarakan fizikal, kebersihan kendiri yang tinggi terutama mencuci tangan dengan air dan sabun, serta memakai pelitup muka terutama di tempat awam, tempat sesak, tempat tertutup dan ketika sembang jarak dekat.

“(Buat masa ini) Situasi terkini Covid-19 masih terkawal dan Kementerian Kesihatan Malaysia serta agensi-agensi lain masih berusaha membendung penularan wabak.

“Kerjasama masyarakat amat diperlukan agar dapat kita sama-sama dapat memutuskan penularan jangkitan Covid-19 daripada segala jenis mutasi sekalipun,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19