Covid-19: Satu kematian, bilangan pesakit sembuh bertambah [METROTV]

SATU kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini kekal 106 kes.

Mengenai bilangan kes baharu positif Covid-19, beliau berkata, sebanyak 30 kes dilaporkan hari ini, mencatatkan 6,383 kes keseluruhan dalam negara.

Menurutnya, daripada jumlah itu, tiada kes import dikesan dan 30 kes berkenaan membabitkan penularan dalam komuniti yang mana 21 daripadanya daripada kluster dan lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dan 24 daripadanya bukan warganegara.

DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Bernama
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Bernama

Katanya, seramai 24 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), lapan pesakit menggunakan bantuan alat pernafasan.

“Bilangan pesakit yang sembuh terus bertambah. Terbaru, seramai 83 orang sembuh.

“Ini menjadikan 4,567 pesakit sembuh dan discaj hospital dengan kadar kesembuhan 71.55 peratus.

“Kes aktif (positif Covid-19) kebolehjangkitan seramai 1,710 pesakit, mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19