Covid-19: Selangor Negeri Zon Hijau

Shah Alam : Buat pertama kali Selangor menjadi Negeri Zon Hijau sejak berdepan dengan pandemik Covid-19, awal tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi Facebook rasminya malam tadi melahirkan kesyukuran dengan perkembangan itu serta penghargaan kepada semua pihak.

“Sejak Selangor diserang Covid-19 dari awal tahun, inilah kali pertama kita menjadi Negeri Zon Hijau. Ini bermakna Selangor tiada kes dengan kebolehjangkitan yang wujud di Selangor.

“Terima kasih kepada semua petugas kesihatan yang bertungkus lumus ‘merawat’ Selangor. Daripada negeri yang paling terkesan dengan Covid-19, kini kita boleh menarik sedikit nafas lega. Jasa serta pengorbanan mereka amat saya hargai dan kagumi,” katanya.

Bagaimanapun dalam kenyataan sama, Amirudin meminta agar rakyat di negeri ini agar terus berwaspada dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Buat seluruh penduduk Selangor khususnya, ini bukanlah bermakna kita boleh bermudah-mudah dengan pengamalan norma baru serta ingkar mematuhi SOP.

“Cukup sekadar sedikit kecuaian, jangkitan tempatan boleh kembali semula.

“Saya menyeru seluruh warga Selangor supaya kita menjaga kebajikan masyarakat dengan terus berdisiplin mengamalkan norma baru dan jangan sesekali memandang ringan terhadap ancaman Covid-19,” katanya.

Menurut Selangor Task Force COVID-19, selepas 41 hari berturut-turut kes aktif di bawah angka lima, kini buat pertama kalinya Selangor direkodkan sebagai Negeri Zon Hijau apabila kesemua daerah serta mukim berstatus Zon Hijau.