COVID-19: Sepanyol catat angka kematian terendah sejak lima minggu

Jumlah jangkitan baharu COVID-19 menurun kepada 1,729, iaitu kali pertama angka tersebut berada di bawah 2,000 kes sejak 17 Mac. – REUTERS

MADRID: Sepanyol merekodkan jumlah kematian terendah akibat COVID-19 dalam tempoh lima minggu selepas perintah kawalan pergerakan mula menunjukkan hasil positif.

Pihak berkuasa kesihatan Sepanyol pada Ahad berkata 288 orang maut akibat virus itu dalam tempoh 24 jam.

Ini adalah kali pertama angka kematian di bawah paras 300 sejak 20 Mac.

Sejak virus itu tersebar, 23,190 orang di Sepanyol telah meninggal dunia.

Menteri Kesihatan Salvador Illa mengesahkan bahawa jumlah jangkitan baharu juga menurun kepada 1,729, iaitu kali pertama angka tersebut berada di bawah 2,000 kes sejak 17 Mac.

Kadar jangkitan harian turun ke 0.8 peratus, turun lebih 20 peratus dari bulan Mac.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mengatakan bahawa jumlah sebenar jangkitan tidak diketahui kerana had ujian saringan.

Illa mengumumkan mulai Isnin, ujian sero-prevalence akan bermula di seluruh negara, ujian darah yang akan menganalisis tahap patogen dalam kalangan penduduk.

Dengan kajian ini, pihak berkuasa berharap dapat memiliki idea yang lebih jelas mengenai penularan virus di negara itu.

Sepanyol mempunyai jumlah jangkitan lebih 207,000 setakat hari ini.