COVID-19: Sepanyol mula longgarkan sekatan ke atas remaja

Bermula Isnin depan, golongan muda yang berusia 15 sehingga 17 tahun boleh melakukan tugas keluarga seperti ke pasar raya, farmasi atau bank. – Gambar Reuters

SEPANYOL akan melonggarkan salah satu sekatan pergerakan membabitkan golongan remaja dan kanak-kanak yang dilaksanakan sebelum ini untuk mengekang penularan COVID-19.

Negara itu akan membenarkan kanak-kanak berusia bawah 14 tahun untuk keluar ke jalanan namun perlu ditemani ibu bapa atau penjaga.

Jurucakap kerajaan, Maria Montero berkata, mulai Isnin depan, golongan muda yang berusia 15 sehingga 17 tahun pula boleh melakukan tugas keluarga seperti pergi ke pasar raya, farmasi atau bank.

"Secara khusus, cadangan yang akan kami sampaikan kepada Kongres adalah bermula 27 April, kanak-kanak di bawah usia 14 tahun boleh menemani orang dewasa dalam aktiviti yang telah dibenarkan.

“Maksudnya, mereka yang berusia 14 tahun ke bawah boleh menemani ibu bapa atau penjaga keluar, sebagai contoh, pergi ke pasar raya, farmasi atau bank. Tidak akan ada had masa dan mereka tidak perlu memakai topeng muka,” katanya.

Keputusan itu diambil selepas mesyuarat mingguan Kabinet memutuskan golongan remaja telah berada di dalam rumah selama lima minggu dan kemungkinan tidak dijangkiti COVID-19.

Angka kematian akibat koronavirus di sepanyol kini melebihi 21,200 dan negara itu kini berada di belakang Amerika dan Itali.