COVID-19: Singapura bina fasiliti mega di Tanjong Pagar, tempatkan 15,000 pesakit

Kapal persiaran juga kini dicadangkan untuk menempatkan pekerja dengan satu daripadanya SuperStar Gemini yang pada masa ini berlabuh di Marina Bay Cruise Centre Singapore, berhampiran kawasan Terminal Tanjong Pagar. – Facebook @ministerkhawboonwan

SINGAPURA: Sebuah fasiliti mega kini sedang dibina di Terminal Tanjong Pagar untuk menempatkan sehingga 15,000 pesakit COVID-19 dan pekerja asing, dalam keadaan kes koronavirus di Singapura terus meningkat, menurut laporan The Straits Times pada Khamis.

Sejak beberapa hari lepas, laporan itu menyebut, tinjauan ke kawasan itu telah menunjukkan khemah besar sedang dipasang menggunakan kren di kawasan itu dengan lori membawa bahan binaan bangunan dilihat memasuki kawasan terminal tersebut yang telah dikosongkan sejak pemindahan operasi pelabuhan pada 2017 sebagai sebahagian pelan pembangunan pelabuhan mega masa hadapan di Tuas.

Sehingga Rabu, laporan itu menyebut sekurang-kurangnya lima atau enam barisan khemah telah siap dipasang di terminal itu.

Laporan itu berkata, sejak beberapa minggu lepas, kerajaan Singapura telah menyediakan beberapa lokasi untuk menempatkan pekerja asing yang sihat untuk mengekang penyebaran virus di asrama pekerja atau memindahkan mereka ke lokasi isolasi komuniti.

Pusat isolasi komuniti adalah bagi menempatkan pesakit COVID-19 yang sedang pulih dan mereka yang mempunyai simptom yang ringan dan ini termasuklah Singapore Expo, Changi Exhibition Centre dan D'Resort NTUC di Pasir Ris, menurut laporan media itu.

Kesemua 10,000 pekerja asing dalam perkhidmatan perlu yang tinggal di asrama khas telah dipindahkan ke 18 kawasan penginapan alternatif seperti kem tentera, hotel, dewan sukan dan blok perumahan kerajaan yang kosong.

Kapal persiaran juga kini dicadangkan untuk menempatkan pekerja dengan satu daripadanya SuperStar Gemini yang pada masa ini berlabuh di Marina Bay Cruise Centre Singapore, berhampiran kawasan Terminal Tanjong Pagar.

Sehingga tengah hari Khamis, Kementerian Kesihatan SIngapura telah mengesahkan 1,037 kes jangkitan COVID-19 baru di republik itu, dengan majoriti besarnya daripada penghuni asrama. Dengan kes baru tersebut, jumlah keseluruhan kes untuk republik itu kini 11,178.

— BERNAMA