COVID-19: Singapura catat 528 kes baharu menjadikannya 16,169 kes

Singapura hari ini mengesahkan tambahan 528 kes baharu jangkitan COVID-19.

SINGAPURA: Singapura hari ini mengesahkan tambahan 528 kes baharu jangkitan COVID-19 termasuk enam kes melibatkan rakyat Singapura atau Penduduk Tetap.

Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dalam kenyataan di sini mengumumkan bahawa ia masih meneliti butiran kes dan sebarang maklumat terkini akan dikongsi kemudian hari ini.

Kementerian berkenaan bagaimanapun melaporkan 'majoriti mendadak' kes hari ini adalah dari penghuni asrama hingga membawa jumlah kes di republik ini kepada 16,169 orang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat Rabu, kementerian berkenaan memaklumkan bahawa jumlah kes baharu dalam komuniti telah berkurangan, daripada purata 25 kes sehari pada minggu sebelum kepada purata 17 kes sehari pada minggu lepas.

Daripada jumlah 15,641 kes pada Rabu, Singapura mengklasifikasi 1,192 sebagai kes komuniti, 571 kes import, dan 524 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tidak tinggal di asrama.

Sementara itu, kementerian berkenaan berkata, penghuni asrama mendominasi jumlah berkenaan merangkumi 85 peratus atau 13,354 kes, dengan kebanyakan kes menunjukkan simptom ringan.

— BERNAMA