COVID-19: Singapura lapor 728 kes positif baharu

Jangkitan dalam kalangan pekerja asing adalah yang paling ramai iaitu 654 pesakit. – Reuters

SINGAPURA: Singapura mencatat 728 kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini, dengan jumlah keseluruhan melepasi angka 4,000.

Daripada jumlah itu, jangkitan dalam kalangan pekerja asing adalah yang paling ramai iaitu 654 pesakit.

Terdapat lima kluster baharu yang dikaitkan dengan beberapa asrama pekerja asing, kata Kementerian Kesihatan Singapura (KKM) dalam kemas kini hariannya.

48 daripada kes baharu ini membabitkan warga tempatan, sementara 26 kes membabitkan pemegang permit kerja yang tinggal di luar asrama.

Kementerian memaklumkan 19 peratus daripada kes baharu ini tidak dapat dikesan puncanya dan pengesanan kontak masih berjalan.

Keseluruhannya, Singapura mencatat 4,427 kes COVID-19 setakat ini.