COVID-19: Singapura umum bajet solidariti bernilai S$5.1 bilion

Dalam peruntukan itu, S$4 bilion akan disalurkan kepada sokongan tambahan untuk perniagaan dan pekerja dan S$1.1 bilion adalah untuk Pembayaran Solidariti. – Gambar fail/BERNAMA

SINGAPURA: Singapura melancarkan belanjawan ketiga berjumlah S$ 5.1 bilion (S$1=RM3.04) dalam langkah seterusnya untuk menyelamatkan pekerjaan dan melindungi kehidupan rakyatnya kerana ia memulakan bulan "pemutus litar" selama satu bulan mulai esok untuk mengurangkan penularan COVID-19.

Dalam peruntukan itu, S$4 bilion akan disalurkan kepada sokongan tambahan untuk perniagaan dan pekerja dan S$1.1 bilion adalah untuk Pembayaran Solidariti.

Membentangkan belanjawan itu hari ini, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata ia akan membantu perniagaan mengekalkan kapasiti dan keupayaan mereka dan untuk meneruskan aktiviti apabila tindakan seumpama perintah kawalan pergerakan (PKP) di republik itu berakhir.

Pada 3 April, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan pelaksanaan bulan "pemutus litar", satu langkah lebih ketat melibatkan penjarakan yang menyebabkan penutupan pejabat, antaranya.

Terdahulu pada 26 Mac, Singapura memperkenalkan "Belanjawan Berdaya Tahan" tambahan bernilai S$48 bilion untuk membantu rakyatnya mengatasi krisis COVID-19.

Belanjawan ini memberi tumpuan kepada menyediakan bantuan kepada pekerja dan perniagaan, terutamanya yang paling terkesan dengan pandemik tersebut, dan memperkuatkan daya tahan ekonomi dan sosial.

Kerajaan bercadang untuk menngeluarkan S$17 bilion daripada Rizab Singapura sebelum ini untuk membiayai sebahagian daripada belanjawan tambahan.

Sementara itu, Heng, yang juga Menteri Kewangan berkata beliau telah memohon dan mendapat sokongan Presiden pada prinsipnya untuk memperoleh S$4 bilion untuk belanjawan ketiga daripada rizab yang lepas.

"Secara khusus, ia akan digunakan untuk membiayai Skim Sokongan Kerja yang dipertingkatkan, Program 'Temporary Bridging Loan' yang dipertingkatkan, Skim Pembiayaan Perusahaan dan Pembayaran Solidariti kepada warga Singapura," katanya.

Beliau berkata baki S$ 1.1 bilion akan dibiayai oleh ruang fiskal dalam tempoh semasa kerajaan.

Keseluruhannya, langkah kerajaan Singapura sebagai tindak balas kepada pandemik COVID-19 berejumlah S$59.9 bilion, atau kira-kira 12 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) republik itu.

Heng berkata keseluruhan defisit belanjawan bagi tahun kewangan 2020 dijangka meningkat kepada S$44.3 bilion atau 8.9 peratus daripada KDNK.

"Ini adalah bajet yang tidak pernah berlaku sebelum ini, untuk waktu yang sukar. Keadaan ini kekal sangat mencabar dan tidak menentu. Kerajaan bersedia untuk memberikan sokongan selanjutnya, sekiranya perlu," katanya.

— BERNAMA