COVID-19: Situasi bertambah baik, Bangkok cadang buka semula beberapa tempat

BMA bercadang melonggarkan beberapa sekatan dan langkah terhadap aktiviti awam dan perniagaan berikutan situasi COVID-19 bertambah baik dengan merekodkan satu digit kes baharu. – Reuters

BANGKOK: Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) bercadang melonggarkan beberapa sekatan dan langkah terhadap aktiviti awam dan perniagaan berikutan situasi COVID-19 bertambah baik dengan merekodkan satu digit kes baharu.

Thailand mencatatkan tujuh kes baharu COVID-19 dan dua lagi kematian pada Selasa, menjadikan jumlah kes jangkitan adalah 2,938 dengan 54 kematian. Sejumlah 2,652 kes telah pulih dan didiscaj dari hospital.

Ini merupakan hari kedua Thailand merekodkan satu digit kes baharu.

Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang berkata BMA telah memaklumkan kepada kerajaan rancangannya untuk membuka semula beberapa tempat bagi lapan kategori – restoran dan kedai minuman bagaimanapun minuman alkohol tidak akan disajikan tetapi hanya untuk bawa pulang, pasar bukan makanan, kedai gunting rambut dan salun (perkhidmatan terhad), klinik (tidak termasuk klinik kecantikan), padang golf, doktor haiwan dan salun haiwan peliharaan, taman awam dan beberapa tempat sukan.

Katanya semua pihak perlu mengamalkan penjarakan sosial apabila tempat-tempat berkenaan dibuka semula.

"Jawatankuasa penyakit berjangkit akan membuat keputusan esok," katanya, memetik Bangkok Post.

Sementara itu, Perdana Menteri General Prayuth Chan o-cha mengumumkan perintah darurat akan dilanjutkan sehingga 31 Mei bagi menangani penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata Kabinet hari ini meluluskan melanjutkan dektri darurat dari 1 hingga 31 Mei dengan perintah berkurung yang dilaksanakan sebelum ini kekal dari 10 malam hingga 4 pagi.

Beliau berkata sekatan perjalanan terhadap warga asing memasuki Thailand juga dilanjutkan sehingga akhir May.

"Kabinet juga menyetujui untuk melonggarkan beberapa sekatan dan langkah termasuk membuka kembali beberapa tempat dan agensi yang berkaitan serta akan menilai keadaan, setiap 14 hari. Kami boleh mengarahkan penutupan tempat itu jika berlaku wabak," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet mingguan pada Selasa.

Beliau berkata butiran mengenai kedai dan tempat yang akan dibuka semula akan diumumkan oleh agensi berkaitan secara berperingkat.

Sementara itu, Prayuth berkata Kabinet hari ini bersetuju untuk tidak menangguhkan empat cuti umum pada bulan Mei iaitu Hari Pekerja (1 Mei), Hari Pertabalan (4 Mei), Hari Visakha Puja atau Hari Wesak (6 Mei) dan Upacara Membajak Diraja (11 Mei).

— BERNAMA