COVID-19: Suffolk County, New York pertimbang simpan mayat dalam ruang sejuk beku kilang daging

New York setakat ini mencatat 11,586 kematian akibat COVID-19. – REUTERS/Andrew Kelly

NEW YORK: Pihak berkuasa Suffolk County, New York sedang mempertimbangkan untuk menyimpan mayat di dalam bilik sejuk beku kilang memproses daging.

Ini bertujuan untuk mengatasi masalah kesesakan di rumah-rumah mayat susulan jumlah kematian yang meningkat akibat COVID-19.

Ketua pemimpin Suffolk County, Steve Bellone menggambarkan situasi yang sedang berlaku kini sebagai sangat mengejutkan.

"Kami melihat 50 hingga 60 orang mati setiap hari akibat COVID-19," kata Bellone.

Rakaman mengerikan yang disiarkan di portal CNN menunjukkan mayat yang tidak terhitung jumlahnya berada dalam sebuah bilik mayat, malah ada juga yang disimpan dalam lori sejuk beku.

Pihak berkuasa daerah kini merancang untuk mengubah sebuah bangunan kilang memproses daging yang terletak di sebuah ladang menjadi bilik mayat sementara kerana jumlah kematian dijangka terus meningkat.

Bangunan tersebut yang dikendalikan oleh Cornell Cooperative Extension, ketika ini mampu menampung 300 mayat namun kapasiti itu boleh bertambah menjadi lebih 400 jika diperlukan.

Suffolk County yang dihuni 1.5 juta penduduk dan terletak di timur Long Island, kini merupakan antara daerah dengan kes COVID-19 paling tinggi di New York.

Lebih 23,523 individu di daerah berkenaan telah dijangkiti virus tersebut dengan 653 kematian dicatatkan setakat ini.