COVID-19: Terus berparti selepas diberi amaran, lebih 100 pelajar terima padah

Pihak Vanderbilt University bagaimanapun enggan memberi pengesahan tentang jumlah pelajar mereka yang dijangkiti virus tersebut, atas alasan menjaga privasi pelajar. – Reuters

TENNESSEE: Seperti banyak pusat pengajian di seluruh dunia ketika ini, Universiti Vanderbilt di Nashville, Tennessee, Amerika Syarikat mengumumkan penutupan kampus dan mengadakan kelas secara atas talian kerana ancaman wabak COVID-19.

Pihak universiti mengeluarkan arahan agar semua pelajar meninggalkan kampus dan pulang ke rumah masing-masing.

Namun, arahan yang dikeluarkan pihak universiti itu tidak diendahkan kira-kira 100 pelajar yang menghadiri parti yang diadakan di kawasan kampus. Parti berkenaan diadakan sebelum mereka pulang ke rumah masing-masing.

Dalam beberapa hantaran di laman sosial, pelajar-pelajar terbabit dilihat tidak bimbang malah ada yang dengan lantang mengatakan tidak takut dijangkiti virus itu.

Padahnya, sejumlah pelajar universiti itu kini disahkan positif COVID-19.

Kumpulan sokongan pelajar memaklumkan 107 ahli kumpulan mereka positif virus berkenaan setakat minggu ini, dengan kebanyakannya mengalami gejala ringan atau sederhana, lapor Reuters.

"Kami telah berusaha, untuk melindungi kesihatan dan keselamatan pelajar, fakulti dan kakitangan.

"Vanderbilt berkomunikasi secara berkala dengan komuniti kami mengenai langkah-langkah penting yang telah dan akan diambil oleh universiti untuk mengelakkan penyebaran penyakit," itu kenyataan pihak universiti.

Universiti itu bagaimanapun enggan memberi pengesahan tentang jumlah pelajar mereka yang dijangkiti virus tersebut, atas alasan menjaga privasi pelajar.