COVID-19: Thailand catat 33 kes baharu, jumlah keseluruhan 2,733

Tiada laporan mengenai kes baharu sejak 14 hari lepas dilaporkan di 29 wilayah di Thailand.

BANGKOK: Thailand melaporkan 33 kes baharu COVID-19 dengan tiada kematian dicatatkan, menjadikan kes yang dikesan kini berjumlah 2,733 kes, dan jumlah kematian akibat pandemik itu kekal 47.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 Thailand (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, 1,787 pesakit atau 65.4 peratus, telah sembuh dan dibenarkan keluar dari wad hospital sehingga kini.

"Kadar kematian COVID-19 di Thailand ialah 1.7 peratus daripada jumlah yang dijangkiti, dan kebanyakan kematian melibatkan mereka yang mempunyai sejarah masalah kesihatan seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi," katanya dalam taklimat harian berhubung COVID-19 di sini hari ini.

Daripada 47 kematian yang dilapokan, 41 adalah warga Thailand, manakala enam lagi adalah warga asing.

Sehingga kini wilayah Bangkok mencatatkan jumlah teringgi kes jangkitan dengan 1,401 kes, diikuti dengan Phuket (192), Nonthaburi (150), Samut Prakan (108), Yala (99) dan Pattani (87).

Tiada laporan mengenai kes baharu sejak 14 hari lepas dilaporkan di 29 wilayah di Thailand, manakala sembilan wilayah kekal bebas daripada pandemik COVID-19.

Sementara itu, Thaweesilp berkata, sejumlah 1,984 rakyat Thai, termasuk 1,604 di Selatan Thailand, telah mendaftar untuk kembali ke tanah air menerusi 23 pusat pemeriksaan sempadan sejak tiga hari lepas.

"Kira-kira 300 warga Thai dibenarkan kembali menerusi sempadan Malaysia setiap hari," katanya dan menambah lima pintu sempadan Thailand-Malaysia dibuka semula bermula Sabtu. – BERNAMA