Covid-19: Tiada penularan tempatan, hanya 5 kes import

JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara merekodkan lima kes sahaja hari ini dengan keseluruhan kes hanya membabitkan kes import, tiada penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan lima kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 9,240 kes.

“Sebanyak lima kes baharu Covid-19 hari ini membabitkan kes import dan tiada penularan kes tempatan.

“Satu kluster import baharu dikesan membabitkan empat anak kapal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan ada tujuh kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini dengan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 8,932 kes, 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, daripada keseluruhan 9,240 kes kumulatif Covid-19 di Malaysia, kes aktif dan kebolehjangkitan sebanyak 183 kes.

“Sehingga kini, tujuh kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), empat memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, justeru jumlah kumulatif kes kematian dalam negara kekal sebanyak 125 kes, 1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19