COVID-19: Tiada rakyat Malaysia di asrama, S’pura laksana strategi tersusun

Singapura kini berdepan dua senario – peningkatan mendadak di asrama, manakala keadaan lebih stabil dalam kalangan penduduk secara umum. – Gambar fail

SINGAPURA: Tiada rakyat Malaysia ditempatkan dalam mana-mana kluster asrama pekerja asing di Singapura, yang menyumbang kepada peningkatan mendadak kes positif COVID-19 pada Khamis.

Bagaimanapun, dua kes melibatkan lelaki Malaysia dilaporkan dengan seorang berumur 36 tahun dikaitkan dengan kluster kedai Mustafa Centre yang pada masa sekarang mempunyai 57 kes disahkan dan seorang lagi berumur 29 tahun masih dianggap sebagai tempatan yang belum ada dihubungkan.

Kedua-duanya kini dirawat di Hospital Besar Changi dan Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan, demikian menurut data harian yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan republik ini dalam laman sesawangnya.

Singapura kini berhadapan dengan dua senario iaitu peningkatan mendadak di asrama, manakala dalam kalangan penduduk secara umum jumlahnya lebih stabil.

Setakat ini, lima asrama diwartakan sebagai kawasan pengasingan dengan terbaharu Asrama Tampines di Tampines Place.

Satu kluster baharu juga dikenalpasti pada Khamis melibatkan sebuah lagi asrama – Shaw Lodge di Shaw Road – dengan lima kes setakat ini menjadikan keseluruhan sembilan asrama terjejas di republik ini.

Pada Khamis, Singapura mencatatkan satu peningkatan tertinggi dalam kes positif harian iaitu 287 dengan 202 kes dikaitkan dengan kluster asrama.

Singapura pada masa sekarang mempunyai 43 asrama yang menempatkan kira-kira 200,000 orang kebanyakannya pekerja dari China, India, dan Bangladesh. Sehingga hari ini terdapat 466 kes positif melibatkan sembilan daripada 43 asrama.

Kebanyakan pekerja Malaysia lebih gemar berulang-alik setiap hari dari Johor Bahru daripada duduk di republik itu.

Sementara itu, kerajaan Singapura sedang melakukan yang terbaik bagi membendung penularan virus itu di asrama dengan menggunakan strategi tersusun yang antaranya mengasingkan mereka yang dijangkiti virus atau kes yang disyaki daripada mereka yang sihat.

Setakad Khamis, kira-kira 5,000 pekerja yang sihat dalam perkhidmatan penting ditempatkan secara berasingan daripada asrama di beberapa tempat.

Beberapa tempat digunakan untuk penempatan sebegini ialah kem Angkatan Tentera Singapura (SAF), Pusat Pameran Changi dan flat Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) yang kosong dikenalpasti untuk dijadikan tempat tinggal sementara bagi golongan berkenaan.

— BERNAMA