COVID-19: Tidak akan terburu-buru tarik balik sekatan – PM Thai

PRAYUTH: Situasi kini semakin baik dengan jumlah kes harian baru yang rendah. Bagaimanapun, kita harus memantau situasi dengan teliti. – Gambar fail

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata kerajaannya tidak akan terburu-buru menarik balik larangan dan sekatan COVID-19 kerana kesihatan dan keselamatan rakyat menjadi keutamaan negara.

Memandangkan situasi COVID-19 di Thailand bertambah baik dengan jumlah kes baru yang rendah, Prayuth berkata Kabinet akan membincangkan dan memutuskan sama ada untuk melanjutkan perintah darurat, yang dijadual berakhir pada 30 April, serta larangan dan sekatan lain yang dikenakan untuk membendung pandemik COVID-19, minggu depan.

Beliau berkata pihak berkuasa berkaitan akan membuat keputusan berdasarkan faktor utama tertentu termasuk kerjasama rakyat dan isu kesihatan.

"Situasi kini semakin baik dengan jumlah kes harian baru yang rendah. Bagaimanapun, kita harus memantau situasi dengan teliti. Kita tidak harus terburu-buru (untuk menarik balik langkah-langkah yang dikenakan) tetapi tetap berhati-hati.

"Keputusan untuk menarik balik larangan dan sekatan tidak akan dibuat di bawah tekanan. Perkara paling penting adalah menilai situasi dan mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan. Jika kita terburu-buru untuk menarik semula sekatan, wabak akan kembali. Usaha yang kita lakukan untuk mengekang penularan rantaian COVID-19 sebelum ini akan gagal," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet mingguan di sini pada Selasa.