Covid-19: Tiga lagi kematian hari ini [METROTV]

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan tiga lagi kematian akibat wabak Covid-19, setakat 12 tengah hari ini.

Secara keseluruhan jumlah kematian bertambah kepada 76 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 153 orang yang disahkan positif hari ini, menjadikan jumlah kes positif jangkitan itu adalah 4,683 kes.

Beliau berkata, seramai 66 kes positif dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 37 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Jumlah kes aktif sebanyak 2,499 dan jumlah keseluruhan kes sembuh 2,108,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes kematian ke-74 (kes ke-3469) adalah lelaki berusia 54 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Tunku Jaafar, Negeri Sembilan pada 1.50 pagi tadi selepas dirawat di hospital itu semalam di mana dia mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

- Foto hiasan
– Foto hiasan

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-75 (kes ke-3469) adalah lelaki berusia 90 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

“Beliau dirawat di Hospital Taiping, Perak pada 1 April dan disahkan meninggal dunia pada 5.23 pagi ini.

“Kes kematian ke-76 (kes ke-4314) adalah wanita berusia 47 tahun dan mempunyai latar belakang darah tinggi yang mana beliau dirawat di Hospital Umum Sarawak, Sarawak pada 8 April dan disahkan meninggal dunia pada 7.36 pagi ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19