COVID-19: Trump bantu perniagaan kecil

Trump mengadakan sidang video bersama eksekutif bank membincangkan program bantuan untuk perniagaan, di White House, Washington, 7 April, 2020. Turut hadir, Setiausaha Perbendaharaan Mnuchin dan penasihat kanan White House Ivanka Trump. REUTERS

Selepas pakej rangsangan bernilai ASD2.2 trilion yang diumumkan sebelum ini, Presiden Amerika Donald Trump kini inginkan bantuan tambahan untuk perniagaan kecil di negara itu.

Terkini, beliau menyuarakan hasrat mendapat bantuan ASD250 bilion untuk membantu perniagaan kecil dan memastikan mereka tidak membuang pekerja.

Beliau turut mengiktiraf kepentingan perniagaan kecil ini dalam menggaji sejumlah besar pekerja di Amerika.

"Perusahaan kecil di Amerika adalah tulang belakang komuniti kita.

"Bila kita lihat dan dengar mengenai syarikat besar, namun apabila kita gabungkan kesemua perusahaan kecil ini, ia akan menjadi satu badan kerja yang besar. Ramai yang tidak memahami perkara ini.

"Di Amerika terdapat 30 juta perusahaan kecil yang menggaji setengah tengara kerja.

"Pentadbiran saya akan terus mengambil langkah terbaik untuk merangsang semula eknomi perusahaan kecil dalam masa terdekat. Kita terdapat banyak pakej rangsangan. Kita akan salurkan dalam masa terdekat," katanya pada Selasa.

Menurut Trump, kerajaan Amerika telah memproses jaminan pinjaman bernilai ASD70 bilion untuk 250,000 perniagaan sehingga Jumaat lepas.

Tambahnya, jika bantuan baru ini tidak diluluskan, perniagaan kecil akan kehabisan tunai dengan pantas.

Program ini dinamakan Program Perlindungan Gaji dan dijangka dibincangkan di kongres dalam sesi terdekat.

Sebelum ini, pakej ASD349 bilion diwujudkan untuk perniagaan kecil di Amerika.

Bantuan ini adalah sebahagian pakej rangsangan ASD2.2 trilion yang diluluskan Kongres pada Mac.

Pakej berkenaan turut merangkumi bantuan tunai langsung kepada warga Amerika untuk terus berbelanja ketika aktiviti ekonomi di negara berkenaan pegun akibat larangan keluar rumah.