Covid-19: Tujuh kes baharu hari ini

SEBANYAK tujuh jangkitan baharu Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kepada 9,070 kes dengan jumlah kes aktif 170 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, enam daripada keseluruhan kes baharu yang dilaporkan itu adalah berkaitan kes import membabitkan tiga warga tempatan dan tiga bukan warga negara.

“Enam kes import berkenaan membabitkan masing-masing satu kes di China, Yaman, Myanmar, Jepun, Pakistan dan Mexico.

“Hanya satu kes penularan di dalam negara yang membabitkan individu warga tempatan iaitu kes saringan di tempat kerja di Negeri Sembilan.

“Beliau mempunyai sejarah bekerja di Indonesia dan pulang ke tanah air pada 7 Mei lalu. Beliau tidak bergejala dan sudah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat dua kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat 47 kes yang sudah pulih pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,775 kes atau 96.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal sebanyak 125 kes,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19