COVID-19: WHO risau dengan peningkatan kes, kematian di benua Afrika

Menurut Tedros, benua Afrika mencatatkan peningkatan kes positif sebanyak 50 peratus dalam satu minggu. – Salvatore Di Nolfi/Keystone via AP

GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom menyuarakan rasa risaunya dengan peningkatan kes positif COVID-19 di serata benua Afrika.

Menurutnya, benua berkenaan mencatatkan peningkatan kes positif sebanyak 50 peratus dalam satu minggu.

Dalam masa yang sama angka kematian juga meningkat 60 peratus.

"Ketika kita meratapi mereka yang meninggal dunia, kita juga meraikan mereka yang telah sihat dan sedang pulih daripada COVID-19.

"WHO sedang mengemas kini garis panduan yang merangkumi cadangan untuk menjaga pesakit yang sedang pulih dan selepas mereka discaj.

"Kami turut sambut baik usaha beberapa negara di Eropah dan Amerika Utara untuk mengurangkan larangan keluar rumah di negara masing-masing.

"Biarpun dengan petunjuk positif di negara ini dan ada yang masih merisaukan di negara lain, dalam masa seminggu lepas, ada 51 peratus peningkatan kes positif yang dilaporkan di benua Afrika dan 60 peratus peningkatan dalam kematian.

"Dengan cabaran terkini untuk mendapatkan kit ujian, angka sebenar mungkin adalah lebih besar.

"Dengan sokongan WHO, banyak negara di benua Afrika ada kebolehan untuk menguji COVID-19.

"Namun kekurangan masih ada untuk lakukan saringan dan kami bekerjasama dengan rakan kami untuk mengurangkan jurang ini dan bantu negara untuk jalankan saringan," katanya.

Tambahnya, angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana kurangnya saringan COVID-19 yang dibuat di benua berkenaan.

Menurutnya, WHO akan membantu meningkatkan kapasiti ujian di benua Afrika dengan 1 juta kit saringan COVID-19 yang dijangka dihantar pada minggu depan.