Dah boleh nikah

ARAHAN penangguhan majlis akad nikah di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sebelum ini, ditarik balik.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, ia susulan Tatacara Khas Majlis Akad Nikah (TKMAN) terbaharu yang dikeluarkan JAIPk bertarikh 10 April lalu bagi menggantikan tatacara sebelumnya.

Menurutnya, berpandukan tatacara terbaharu itu, akad nikah hanya boleh dilaksanakan di premis Pejabat Agama Islam Daerah bukan di tempat lain dalam tempoh tidak melebihi 30 minit.

Katanya, Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah (PTAID) atau wakilnya dikehendaki menyediakan sebuah bilik khas di mana proses nyah kuman perlu dilakukan dari semasa ke semasa.

“Majlis akad nikah itu juga hanya boleh dihadiri oleh seorang jurunikah, dua saksi, pasangan pengantin dan seorang wali pengantin wanita.

“Semua mereka yang hadir dikehendaki mematuhi arahan yang ditetapkan sepanjang majlis berlangsung termasuk mengamalkan penjarakan sosial satu meter.

“Antara ketetapan lain mesti dipatuhi ialah tiada berjabat tangan ketika lafaz ijab kabul, tiada pembatalan air sembahyang, menyarung cincin, sesi bergambar selain dikehendaki memakai penutup mulut dan hidung ketika majlis berlangsung,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Menurutnya, PTAID atau wakilnya dipertanggungjawab untuk memastikan kesemua individu yang hadir pada majlis berkenaan mematuhi langkah keselamatan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa.

Katanya, hanya tiga sesi majlis akad nikah dibenarkan masing-masing selama 30 minit iaitu jam 9.30 pagi, 11.30 pagi dan 2.30 petang setiap hari.

“Segala dokumentasi dan pengeluaran sijil perakuan nikah bagaimanapun terpaksa ditangguhkan dan hanya disempurnakan selepas tamat tempoh PKP.

“PTAID juga diberi kuasa untuk membatalkan majlis berkenaan sekiranya tatacara terbaharu itu tidak dipatuhi atau terdapat arahan daripada Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Negeri Perak (KPNCR),” katanya.