Dah kenyang, dapat belaian

Ipoh: Lepas mengisi perut, pelanggan sebuah kedai makan di Jalan Russel di sini, boleh mendapat ‘gadis peneman’ atau GRO untuk layanan manja serta dibawa ke pangsapuri berhampiran bagi khidmat seks.

Khidmat GRO warga asing yang disediakan itu dikatakan hanya ditawarkan pada setiap malam hujung minggu.

Bagaimanapun, taktik bagi mengaburi mata pihak berkuasa di kedai makan itu terbongkar dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak bermula jam 7 hingga jam 9 malam Sabtu lalu membabitkan 29 pegawai dan anggota penguat kuasa.

Pengarah JIM Perak Kamalludin Ismail berkata, serbuan terhadap dua lokasi itu dijalankan berdasarkan maklumat orang awam dan risikan yang dibuat pihaknya sebelum ini.

“Lokasi serbuan membabitkan dua premis iaitu kedai makan dan sebuah pub.

“Pemeriksaan terhadap 36 orang berjaya menahan 21 daripadanya yang terdiri daripada dua lelaki warga Myanmar dan 19 wanita warga China berusia antara 28 hingga 50 tahun.

“Serbuan terhadap kedai makan menyaksikan beberapa warga asing lari bertempiaran selepas mengetahui kehadiran pegawai operasi di lokasi berkenaan.

“Terdapat juga warga asing yang sanggup menggadai nyawa dengan melarikan diri ke arah jalan besar yang ketika itu agak sibuk dengan kenderaan,” katanya.

Kamalludin berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi premis itu adalah menyediakan GRO dengan memberi layanan manja kepada pelanggan sebelum ke pangsapuri yang terletak di belakangnya.

“Premis ini beroperasi setiap hari tetapi menyediakan GRO pada setiap Sabtu dan Ahad pada sebelah malam sahaja.

“Bayaran kepada GRO itu dikatakan bergantung kepada tips yang diberikan oleh pelanggannya,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bahawa kesemua mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah dan tinggal lebih masa.

“Mereka ditahan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya.