Dakwaan polis Petaling Jaya ‘dibeli’ disiasat

POLIS menerima dua laporan semalam, berhubung dakwaan seorang wanita yang mendakwa suspek kes ugut berkaitan perebutan kuasa di sebuah kuil di Sea Park, ‘membeli’ polis di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya ada memuat naik kenyataan berhubung kes ugutan itu di Facebook (FB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, semalam.

“Menerusi kenyataan dimuat naik itu, ada seorang wanita menulis di ruangan komen mendakwa seluruh balai Petaling Jaya ‘dibeli’ oleh suspek berusia 41 tahun berkenaan.

“Ekoran itu, suspek yang sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai reman kes berkenaan (ugut) membuat laporan polis berhubung dakwaan terbabit, semalam.

“Selain itu, kami juga menerima satu lagi laporan dibuat oleh orang awam di Brickfields, Kuala Lumpur berhubung dakwaan berkenaan,” katanya pada sidang media di IPD Petaling Jaya, hari ini.

Nik Ezanee berkata, berdasarkan laporan polis dibuat, pihaknya turut membuka kertas inkuiri tatatertib berhubung perkara itu.

“Kami sudah mengenal pasti identiti wanita berkenaan dan dia dijangka hadir ke IPD Petaling Jaya kira-kira jam 3 petang ini untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Tindakan ini adalah penting supaya kami dapat melakukan siasatan secara adil bagi kedua-dua pihak iaitu pihak yang mendakwa dan pihak yang didakwa,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, Nik Ezanee memaklumkan perebutan kuasa sebagai pengerusi persatuan pengurusan di sebuah kuil di Sea Park, dipercayai menjadi punca pertelingkahan antara dua individu yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Menurutnya, polis menerima laporan dibuat seorang wanita yang mendakwa diugut seorang lelaki dikenalinya di tempat letak kenderaan awam berhadapan IPD Petaling Jaya jam 5.30 petang pada 18 Ogos lalu.

Katanya, hasil maklumat diterima, pihaknya menahan seorang lelaki serta dua pistol bersama lapan peluru bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sebelum ini, terdapat mesej tular menerusi Whatsapp yang mendakwa suspek terbabit dengan Geng 04, mengawal semua projek pembinaan, kelab malam, pusat urut dengan meminta wang perlindungan dan mendakwanya mendapat sokongan serta kerjasama pihak polis IPD Petaling Jaya dalam semua kegiatannya.

Berita berkaitan

• Perebutan kuasa pengerusi kuil jadi punca pertelingkahan