Damai Kami Sepanjang Hari

Jakart: Disebabkan ayahnya meminati hasil karya Iwan Fals, seorang remaja menarik perhatian ramai kerana keunikan namanya yang diambil sempena tajuk lagu penyanyi itu.

Malah, adik-beradiknya yang lain juga turut diberikan nama unik yang mempunyai kaitan dengan Iwan Fals atau tajuk karya seni.

Tribunnews melaporkan gadis itu yang memiliki nama Damai Kami Sepanjang Hari berkongsi keunikan namanya di media sosial selepas sering menerima pertanyaan mengenai nama diberikan ayahnya itu.

Malah, dia terpaksa berkongsi gambar kad pengenalan diri bagi membuktikan namanya bukan rekaan kerana ada pihak yang tidak percaya nama sebenarnya.

“Ramai yang bertanya sama ada nama saya asli (benar) atau tidak. Betulkah nama kamu Damai Kami Sepanjang Hari? Ini pasti bohong,” katanya yang sering menerima soalan sama.

Menurutnya, dia bertanyakan kepada ayahnya bagaimana mendapat idea untuk menamakannya dengan judul lagu itu.

“Ayah meminati karya Iwan Fals dan mempunyai impian untuk memiliki kehidupan yang damai, teratur dan diberkati.

“Maka, nama Damai Kami Sepanjang Hari yang diberikan kepada kamu itu adalah doa,” kata ayahnya.

Gadis yang mesra dipanggil Meimei itu berkata, apa yang menarik, bukan namanya saja unik tetapi semua adik-beradiknya juga memiliki nama lain daripada lain.

Abangnya diberi nama Virgian Cikal Nurahman di mana perkataan Virgian adalah dari nama sebenar Iwan iaitu Virgiawan.

Kakaknya pula diberikan nama Anissa Cikal Rambu Anarki iaitu satu lagi karya Iwan, Galang Rambu Anarki.

Adiknya yang keempat dan kelima turut diberi nama berkaitan karya seni iaitu Ali Musa Daud Surya Kantata dan Caraka Gema Alam Raya.