Daniella lali lelaki ‘nakal’

MELANGKAH masuk ke dalam bidang seni bermakna terpaksa mengorbankan privasi sendiri. Setiap perbuatan akan menjadi perhatian masyarakat dan jika tersilap langkah pasti akan menjadi kecaman ramai.

Situasi ini sinonim dengan pelakon keturunan Cina, Daniella Sya Yeng Yeng yang sering dikecam netizen berkenaan cara pemakaiannya.

Daniella, 32, bagaimanapun tidak mahu melatah dan beranggapan berlaku salah faham dalam isu ini.

“Diakui saya selalu kena kecam berkenaan isu pakaian yang dikatakan agak seksi dan mencolok mata.

“Masing-masing ada pendapat serta pandangan sendiri dan saya faham kebanyakan orang Malaysia beragama Islam, jadi pemakaian mereka pun lain.

“Untuk ambil hati, rasanya tak perlulah kerana saya dari keturunan yang berlainan agama. Mana pandangan yang baik saya akan ambil dan yang tidak berfaedah saya biarkan saja,” katanya.

Pelakon drama bersiri Ombak Rindu ini juga turut mengakui penampilan dan imej yang dibawa akan mengundang golongan lelaki nakal untuk mendekatinya.

“Saya sudah lali berdepan dengan golongan lelaki begini. Pada saya, secara umumnya ramai wanita yang selalu diganggu oleh lelaki atau individu yang berniat tidak baik.

“Tidak kira apa yang mereka pakai pun kerana gangguan sebegini pasti akan ada.

“Pendekatan saya mudah saja iaitu abaikan dan tak perlu nak terlalu serius memikirkannya,” katanya.

Dilahirkan di Sungai Petani, Kedah, Daniella memulakan kerjaya sebagai model iklan dan majalah pada usia 16 tahun.

Dia seterusnya bergelar penyampai radio di Lite FM, mengacara program Spin untuk Astro hitz dan berlakon.

Daniella seterusnya mendapat tawaran berlakon di Singapura menerusi siri mini Keong Saik Street pada 2012 dan membuat keputusan berhijrah ke sana apabila ditawarkan menyertai Mediacorp Singapura.

PELAKON keturunan Cina, Daniella Sya Yeng Yeng yang sering dikecam netizen berkenaan cara pemakaiannya
PELAKON keturunan Cina, Daniella Sya Yeng Yeng yang sering dikecam netizen berkenaan cara pemakaiannya

Keputusannya untuk kembali ke Malaysia berbaloi apabila ditawarkan berlakon drama Aurora Aishah pada 2017 dan terus dihujani tawaran berlakon sehingga sekarang.

“Saya gembira kerana peminat menerima kehadiran saya dengan baik. Tidak pasti sejauh mana populariti saya di mata mereka tapi diharapkan semuanya okey.

“Memang sudah banyak drama saya buat tapi rasanya peminat lebih mengenali saya menerusi drama Jodoh-Jodoh Annisa sebagai Daniella dan KL Gangster Underworld sebagai Sherrina The Butcher.

“Setiap kali berjumpa, ramai yang tegur saya dengan watak ini,” katanya.

Terbaharu, Daniella terbabit dalam filem Alam: Kingdom Resurrection iaitu filem kerjasama antara Amerika Syarikat dan Malaysia, Biar Aku Jadi Imammu (telefilem RTM), Lafaz Terindah (telefilem RTM) dan Talbis Iblis (filem).

“Sepatutnya sebuah lagi filem lakonan saya berjudul Takut Ke Tak? dilancarkan pada 2 April lalu, tapi terpaksa ditangguhkan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Saya tak kecewa kerana sebagai rakyat kenalah akur dengan perintah kerajaan.

“Apabila krisis ini selesai, barulah kita boleh buat apa yang sepatutnya untuk filem ini,” katanya yang mengakui belum berpuas hati dengan pencapaiannya dan mahu memperbaiki kekurangan yang ada.

Dalam pada itu, Daniella juga turut mengharapkan agar semua pihak melalui tempoh sukar ini dengan keadaan tenang tanpa sebarang masalah.