‘De Fam tetap dihati’

SETIAP kali ditanya, Azira Shafinaz mengakui keutamaannya adalah dalam nyanyian bersama kumpulan De Fam.

Bagaimanapun, tawaran persembahan yang masih belum ‘meriah’ selepas fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan dia beralih kepada lakonan.

“Saya tak pernah terfikir nak bergerak solo dalam nyanyian, cuma De Fam kini berehat seketika sambil dalam proses buat single baru. Insya-Allah, awal tahun depan kami tampil dengan single terbaru.

Jadi saya gunakan kesempatan ini dengan memenuhi tawaran berlakon. Tak dinafikan kami rindu sangat nak beraksi depan peminat. Selepas PKP, kami hanya terbabit dalam dua program TV saja,” katanya.

Azira atau nama sebenarnya Azira Shafinaz Ramlan, 28, baru selesai membintangi drama 10 episod berjudul Isteri Misteri membabitkan kerjasama stesen TV streaming Viu dan TV3.

“Ceritanya berkonsep thriller yang disulam dengan komedi. Saya bergandingan dengan Sharnaaz Ahmad, Tiz Zaqyah, Sharifah Sakinah dan Azar Azmi. Kami semua adalah pemegang watak utama. Pertama kali bergandingan memang seronok. Mereka senang bekerjasama.

AZIRA akan muncul dengan single terbaru bersama De Fam.
AZIRA akan muncul dengan single terbaru bersama De Fam.

“Kisahnya mengenai lelaki yang mempunyai tiga isteri. Seorang di antara mereka disyaki mahu membunuhnya. Ia akan ditayangkan November ini,” katanya.

Tidak berehat lama, dia akan terbabit dengan penggambaran drama episod berjudul Penjara Janji

terbitan JS Pictures Sdn Bhd minggu depan.

“Drama untuk slot Samarinda TV3 ini menggandingkan saya dengan Alif Satar dan Fauzi Nawawi. Ini bukanlah kali pertama saya berlakon dengan JS Pictures dan saya selesa bekerja dengan mereka. Saya jenis orang yang memilih cerita dan watak. Alhamdulillah setakat ini saya dapat watak yang berkualiti,” katanya.

Jika bukan kerana PKP, peminat tentu boleh menyaksikan dua filem lakonannya iaitu Talbis Iblis dan

Air Force yang sepatutnya ditayangkan tahun ini.

“Saya bawa watak Hajar dalam Talbis Iblis dan perlu melalui proses uji bakat. Lega kerana saya jadi pilihan penulis skrip filem dan dan pengarahnya Kabir Bhatia.

“Watak saya agak berat iaitu sebagai wanita yang hamil anak luar nikah. Saya tak perlu nak mekap cantik-cantik untuk bawa watak. Malah, saya juga buat aksi lagak ngeri sendiri dalam filem ini. Nasha Aziz dan Zul Ariffin banyak membantu saya,” katanya.

Tidak keterlaluan dikatakan, dia mengambil inspirasi Nasha dalam menjayakan wataknya.

“Dia berikan yang terbaik menerusi wataknya sekali gus memudahkan saya untuk bawa watak Hajar. Bagi saya cerita ini memang penuh emosi. Berlakon cerita ini memang memenatkan fizikal dan mental. Saya berikan 110 peratus komitmen,” katanya yang mahu lakonannya sampai kepada penonton.

Sebagai langkah masa panjang, Azira mahu berjinak dalam perniagaan dengan mengeluarkan produk penjagaan diri tahun depan.

“Memang saya sudah lama teringin nak uruskan perniagaan tapi perlulah buat persediaan lengkap. Saya nak keluarkan produk yang orang suka dan percaya. Bukan kerana nak buat keuntungan semata-mata,” katanya.