Debaran berganda Awie

KEHADIRAN 2021 disambut dengan penuh debaran oleh penyanyi dan pelakon terkenal, Datuk Awie.

Apa tidaknya, dia yang kini melebarkan langkah sebagai penerbit filem menerusi syarikatnya, Rumah Produksi Merah berdebar menunggu sambutan peminat terhadap filem pertamanya berjudul 10 Tips Tipu Bini arahan Azizi ‘Chunk’ Adnan yang akan ditayangkan menerusi saluran Astro First bermula 7 Januari ini.

Pada masa sama, penyanyi kumpulan Wings ini juga berdebar menantikan kelahiran cahaya mata keenam dijangka pada pertengahan bulan ini.

Awie, 52, berkata, dia bersyukur, gembira dan menyifatkannya mendapat rezeki berganda.

“Naskhah ini ibarat rezeki yang lahir pada Januari. Filem ditayangkan pada 7 Januari manakala anak pada pertengahan bulan. Alhamdulillah, ini dua rezeki Allah beri kepada saya. Saya doa banyak-banyak moga filem ini berjaya.

“Saya tak sangka percaturan Allah iaitu filem ini keluar pada bulan sama bayi saya akan dilahirkan. Kalau tak bersyukur lagi, tak tahulah,” katanya.

Berbicara mengenai filem genre komedi itu Awie berkata, ia sebuah kisah komedi ringan yang diinspirasikan daripada kisah sekeliling termasuk rakannya.

GENRE komedi pilihan Awie kerana mudah diterima peminat tapi bukan tiru sesiapa.
GENRE komedi pilihan Awie kerana mudah diterima peminat tapi bukan tiru sesiapa.

“Cerita yang santai ini boleh memberi hiburan buat peminat yang hanya perlu menonton di rumah bersama keluarga.

“Tidak dinafikan paparannya mungkin terjadi dalam kalangan mereka yang berkeluarga. Seakan-akan susah untuk dibincangkan tapi ia hakikat yang berlaku.

“Apa-apa pun saya minta isteri jangan terlalu ambil serius mengenai cerita ini. Kami sebenarnya mahu menyampaikan mesej positif kepada penonton,” katanya.

Menurut Awie, keputusan menghasilkan filem itu menggunakan dana sendiri tanpa pinjaman daripada mana-mana pihak berjaya melancarkan perjalanan penggambarannya.

“Kita guna duit tabung dan duit poket untuk filem ini. Itu sebab apabila kita buat, kita beri sinopsis terlebih dahulu kepada Astro.

“Mereka lihat cerita ini bagus dan tak nak simpan lama-lama. Kalau simpan lama-lama mereka pun rugi daripada tayang filem yang tak boleh jual.

“Setiap perniagaan mesti nak ada untung untuk pulangan modal seterusnya. Tapi kami bukanlah potong giliran orang kerana apa yang dilakukan mengikut saluran yang betul,” katanya.

Awie berkata, penggambaran bermula pada Julai tahun lalu dan perbincangan sudah dilakukan sebelum itu.

“Kiranya jangka masa yang panjang juga diambil untuk merealisasikan projek ini. Cabaran jadi seorang penerbit ialah kena bermain dengan wang dan waktu.

“Ia paling perlu dijaga kerana katakan sasaran kita untuk ‘shooting’ 10 hari, tapi kalau terlajak beberapa hari lagi, itu semua babitkan duit.

“Jadi, saya kena betul-betul ambil kira dan jangan terlebih bajet untuk sesuatu projek. Saya tak tertekan tapi pengarah yang berada dalam situasi itu kerana dia perlu pastikan semuanya ikut jadual,” katanya.

Menurutnya, genre komedi menjadi pilihan kerana mudah diterima peminat dan bukan meniru sesiapa.

“Saya bukan tiru Syahmi Sazli yang menghasilkan filem Mael Totey The Movie (MTTM) yang meletup sehingga mencatat kutipan RM7 juta.

“Penggambaran filem ini dibuat pada Julai dan ketika itu MTTM belum ditayangkan kepada penonton.

“Dunia hiburan yang kita ‘involve’ adalah perniagaan yang ada untung rugi. Saya tahu serba sedikit pasal filem.

“Saya berikan kepercayaan pada Chunk sebagai pengarah dan watak saya hanyalah sebagai Brother Love. Jadi pengarah perlu ikut perancangan yang saya mahu supaya filem tak syok sendiri,” katanya.

AWIE dan Azizi  'Chunk' (dua dari kiri) bersama sebahagian pelakon filem 10 Tips Tipu Bini.
AWIE dan Azizi ‘Chunk’ (dua dari kiri) bersama sebahagian pelakon filem 10 Tips Tipu Bini.

Awie juga menafikan filem itu menciplak idea filem Madu Tiga arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

“Cuma boleh saya katakan naluri seorang isteri sangat kuat. Apa saja penipuan si suami, dia pasti akan tahu,” katanya.

Ditanya berkenaan sasaran kutipan 10 Tips Tipu Bini, Awie tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi.

“Saya tak letakkan sasaran terlalu tinggi. Rumah Produksi Merah hanya mahukan yang sederhana, tapi naluri sebenarnya mahu lebih berjaya daripada itu.

“Tapi mampukah atau ada keajaiban yang berlaku. Orang tengah ‘boring’ dalam masa pandemik ini dan nakkan ketawa serta hiburan.

“Mungkin ini jadi hiburan mereka. Tapi janganlah isteri baca tajuk sahaja dan halang suami untuk menonton,” katanya.

Filem yang ditulis oleh Armada AI Haq itu dibintangi oleh Khir Rahman, Ropie, Joey Daud, Elizabeth Tan, Jehan Miskin, Vicha dan Nasir Bilal Khan.

Filem 10 Tips Tipu Bini mengisahkan tiga sahabat baik yang takut isteri masing-masing. Mereka (Raffi, Kay dan Jepp) bersahabat baik bekerja sebagai pengarah kreatif di sebuah syarikat pengiklanan terkenal di Kuala Lumpur bernama Grand Poyo Advertising & Events kepunyaan Dato Dean.

Boleh dikatakan mereka adalah pekerja yang dedikasi dan mempunyai idea menarik serta hebat. Namun begitu sebaliknya apabila berada di rumah, mereka seorang suami yang terlalu takut isteri masing-masing.

Filem ini juga turut diiringi dengan OST yang digarap sepenuhnya oleh Awie iaitu Sang Kekasih dan Dubuk Liar yang turut menampilkan kumpulan Wings.