‘Desa misteri’ dalam hutan

SERAMAI 154 individu dituduh di Mahkamah Kuala Kubu Bharu, dekat sini, semalam kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah penempatan di Ulu Rening, Batang Kali, Hulu Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, semua mereka dipercayai berkumpul di satu penempatan di kawasan berkenaan.

“Semalam (kelmarin) kami menahan 238 individu di penempatan berkenaan, daripada jumlah itu kami mendakwa 154 individu.

“Bakinya adalah kanak-kanak dan bayi yang hanya mengikut keluarga mereka tidak akan didakwa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

INFOGRAFIK
INFOGRAFIK

Mengulas berhubung penempatan berkenaan, Fadzil berkata, pihaknya kini sedang memeriksa status tanah dengan Pejabat Tanah Daerah bagi mengenal pasti pemilik tanah berkenaan.

“Kami sedang menjalankan siasatan di pelbagai sudut, apa pun siasatan masih berjalan.

“Setakat ini kita sedang menumpukan dakwaan terhadap mengingkari arahan PKP,” katanya.

Seramai 238 individu termasuk bayi ditahan polis di sebuah kawasan penempatan di Ulu Rening, Batang Kali, Hulu Selangor, kelmarin.

Kumpulan terdiri daripada lelaki, wanita, kanak-kanak dan bayi yang dipercayai membuat penempatan haram dengan membina khemah di dalam hutan dan atas bukit di kawasan berkenaan.

Polis yang menerima maklumat menjalankan risikan dan menyerbu kawasan itu kira-kira jam 4 petang.

Serbuan dilakukan pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan