Detik hitam ‘sorok-sorok’

DHAKA: Seramai enam remaja lelaki ditahan kerana merogol kanak-kanak perempuan selepas mengajak mangsa bermain ‘sorok-sorok’ di sebuah kampung di Tripura, menurut polis pada Ahad.

Suspek ditahan selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian terbabit dengan enam daripada mereka yang tinggal di Tabaria di barat Tripura sudah ditahan, manakala seorang lagi masih menghilangkan diri.

Menurut polis, selepas siasatan lanjut selesai dijalankan pihak berkuasa, empat daripada mereka dihantar ke pusat tahanan juvana manakala dua lagi yang berusia 12 tahun sedang menerima rawatan di hospital selepas disahkan positif Covid-19.

“Berdasarkan laporan polis yang dibuat bapa mangsa, suspek dikatakan mengajak mangsa bermain ‘sorok-sorok’ sebelum merogolnya.

“Kejadian itu dipercayai berlaku pada Jumaat lalu,” kata pegawai polis Kompleks New Capital, Priya Madhuri Majumder.

Mangsa hanya memaklumkan kejadian kepada ibu bapanya sebaik pulang dari rumah sebelum laporan polis dibuat.

Suspek yang dikenali mangsa kemudiannya ditahan polis sehari kemudian selepas siasatan dan risikan dijalankan pihak berkuasa.

“Seramai tujuh remaja terbabit dalam kejadian ini dan enam daripada mereka sudah ditahan manakala seorang lagi menghilangkan diri,” katanya.