Dilema anjur bazar Ramadan

TARIKH 1 Ramadan menandakan bermulanya puasa yang jatuh pada tarikh 24 April ini.

Selain umat Islam mula menunaikan rukun Islam, ketibaannya dinantikan penduduk Malaysia tanpa mengira bangsa serta agama susulan tarikan bazar Ramadan diadakan di seluruh negara.

Namun wabak pandemik virus Covid-19 melanda negara menyebabkan sebarang aktiviti orang ramai berkumpul disifatkan tidak sesuai diadakan.

Negeri Sembilan menjadi negeri pertama membuat keputusan melarang penganjuran bazar Ramadan apabila Menteri Besarnya Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan perkara itu pada 26 Mac lalu.

Kerajaan Terengganu turut mengambil keputusan membatalkan penganjuran bazar Ramadan tahun ini dan alternatifnya digantikan dengan bazar secara dalam talian selepas diumumkan pada 30 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri Terengganu Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman menyifatkan ia langkah terbaik dalam memastikan keselamatan rakyat negeri itu.

Ia diikuti pengumuman 1 April lalu oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa kerajaan negeri membatalkan operasi bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di seluruh negeri itu bagi mengekang penularan Covid-19.

Pada hari sama di Selangor, Menteri Besarnya Datuk Seri Amirudin Shari turut mengambil langkah sama membatalkan penganjuran bazar Ramadan selepas perkara itu dibincangkannya secara dalam talian dengan yang dipertua pihak berkuasa tempatan seluruh negeri itu.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan situasi semasa wabak di negeri berkenaan namun sekiranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membenarkan bazar Ramadan dianjurkan, pihaknya akan mengguna pakai saranan itu.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar semalam menitahkan supaya rakyat melupakan dulu bazar Ramadan disebabkan risiko berlakunya kontak rapat adalah amat besar.

Baginda meluahkan kebimbangan sekiranya berlaku penularan virus berkenaan secara berleluasa akan turut memberi kesan kepada usaha kerajaan dalam membasmi sepenuhnya wabak itu.

Dalam kenyataan berasingan, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa pula berkata beliau selaku menteri bertanggungjawab memberikan masa sehingga hari ini kepada pihak berkuasa iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan untuk mengemukakan cadangan terlebih dulu.

Katanya, belum ada sebarang keputusan mengenai penganjuran bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan tahun ini seperti yang ditimbulkan sesetengah pihak.

Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali pula menyatakan belum memutuskan sama ada penganjuran bazar Ramadan di negeri itu diteruskan atau sebaliknya.

Bagi kerajaan negeri Pahang pula, setakat ini belum ada keputusan rasmi bagi seluruh negeri namun Majlis Daerah Pekan (MDP) lebih awal bertindak apabila Yang Dipertuanya Datuk Rose Shamsul Abdul Razak pada 31 Mac lalu memutuskan dua bazar Ramadan utama di daerah itu tidak akan diadakan.

Katanya, walaupun terlalu berat untuk diterima keputusan itu namun pihaknya terpaksa berbuat demikian demi keselamatan dan kesihatan masyarakat setempat.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob pada 29 Mac lalu pula membayangkan kemungkinan tiada bazar Ramadan di negeri itu tahun ini.

Mengulas mengenai sama ada perlu bazar Ramadan diadakan tahun ini, KKM mengalu-alukan idea dan inovasi daripada orang ramai, untuk dipertimbangkan.

“Masa inilah kita menggunakan idea yang inovatif, sebagai contoh e-bazar Ramadan, online bazar Ramadan atau bazar Ramadan pandu lalu. Kita alu-alukan idea baharu kerana hendak mengelakkan perhimpunan orang ramai,” kata Ketua Pengarah Kesihatan KKM Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Pemerhatian Harian Metro mendapati belum ada kenyataan atau keputusan dari Sabah, Sarawak, Perak dan Pulau Pinang berhubung pembatalan bazar Ramadan.