Dinoda depan anak

Lahore: Malang bagi seorang wanita di Pakistan apabila diperkosa bergilir-gilir oleh dua lelaki tidak dikenali ketika kereta dipandunya ‘tersadai’ akibat kehabisan petrol di sebuah lebuh raya.

Lebih menyedihkan, mangsa diperkosa di hadapan dua anaknya yang turut berada di tempat kejadian.

Difahamkan, kejadian berlaku jam 1.30 pagi ketika tiga beranak itu dalam perjalanan dari Lahore menuju ke Gujranwala.

Channel News Asia (CNA) melaporkan mangsa ada menghubungi keluarga dan polis bantuan lebuh raya untuk mendapatkan bantuan.

Sebelum bantuan tiba, dua lelaki datang dan memecahkan tingkap kereta wanita itu.

Mereka mengheret mangsa dan dua anaknya, masing-masing berusia bawah lapan tahun ke tanah lapang sebelum memperkosa wanita itu.

Kedua-dua suspek mencuri wang tunai, barangan kemas dan kad bank milik mangsa sebelum melarikan diri.

Susulan kejadian, orang ramai meluahkan rasa simpati terhadap mangsa dan anaknya yang trauma akibat kejadian itu.

Segelintir daripada mereka turut menyalahkan kerajaan.

Keadaan jadi bertambah tegang apabila ketua pegawai penyiasat yang juga Ketua Polis Bandar Lahore, Umer Sheikh mengeluarkan kenyataan seolah-olah menyalahkan mangsa.

Ia selepas beliau seakan-akan mempersoalkan tindakan mangsa yang tidak menggunakan laluan lebih selamat serta mengisi penuh petrol sebelum memulakan perjalanan.

Kenyataan itu mendapat kecaman orang ramai yang menyifatkan perogol harus dipersalahkan dan bukannya mangsa.

Kes itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan yang meminta polis segera menangkap dan menghukum suspek.

“Perbuatan jenayah seumpama itu adalah kejam dan tidak boleh diterima oleh masyarakat yang bertamadun. Ia juga bertentangan dengan nilai sosial kita dan mencemarkan keharmonian masyarakat,” katanya.

Difahamkan, polis sudah menahan 12 lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.